Musafir Ke Alam Barzakh

Wednesday, January 19, 2011

"Setiap yg bernyawa pasti akan merasai mati"

Pada hari isnin tanggal 17/1/2011, langit Bumi Kinanah yang biasanya cerah ceria dengan senyuman si pendiamnya telah bertukar menjadi suram. Tangisan dari langit terus mengalir hingga mengundang berita yang bisa menitiskan air mata ikhlas si pendiamnya. Warga Malaysia Iskandariah dikejutkan dengan berita seorang musafir di mesir yang telah bermusafir pulang semula ke Pemiliknya. Allahyarhamah Nurul Iman binti Ab Alim pelajar Tahun 3 Fakulti Perubatan Universiti Alexandria meninggal dunia pada kira-kira 10.15 pagi akibat keracunan gas karbon monoksida. AL FATIHAH buat allahyarhamah.

Sumber:
 http://iskandariah.perubatan.org/v1/pelajar-meninggal-dunia-akibat-keracunan-gas-pemanas-air

Seluruh warga malaysia, tak kira yang berada di bumi peristiwa mahupun yang berada di desa tanah air amat berduka cita atas pemergian yang diundang secara mengejut oleh Yang Maha Esa. Ajal tidak mengenal waktu mahupun tempat, andai saatnya telah tiba, tidak akan dilambatkan atau dipercepatkan walau sedetik. Betapa Dia berkuasa terhadap makhluk yang diciptaNya secara mutlak. Kita sebagai hamba-hambaNya yang kerdil dan hina hanya mampu menerima Qadak & Qadar yang telah tertulis di Luh Mahfuznya. Sesungguhnya ajal, rezeki & jodoh pertemuan hanya Allah yang tentukan. Tiada siapa yang mampu menolak kenyataan itu.

Akhirnya allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Hayy Sabi', Qaherah atas persetujuan ahli keluarganya. Kata bapa beliau, "Biarlah kami berjumpa semula di Syurga",

Dalam masa terdekat ini, pastinya ramai yang diselubungi derita kalbu kerana merasai pemergian insan mulia terutamanya yang mengenali malah yang rapat dengan beliau. Di sini ingin saya berkongsi sebuah kisah yang menarik untuk kita mengambil ibrah bersama inshaAllah..

Di sebuah bandar, didiami penduduk yang dimuliakan dan diangkat darjat di sisi Tuhan, atas pegangan mereka akan ajaran yang dibawa oleh pemimpin mereka yang sangat berwibawa sehingga dicintai seluruh penduduk di bawah naungannya dan digeruni oleh musuhnya. Pemimpin ini telah berjuang sepenuh hati dalam menyebarkan ajaran yang diamanahkan ke atasnya, dibantu oleh para sahabatnya yang sangat akrab. Namun, adat dunia, setiap permulaan ada pengakhirannya. Setiap kehidupan, ada kematiannya. Pemimpin yang amat disanjung rakyatnya itu ditimpa sakit yang lara.

Pada pagi itu, penduduk di bandar itu sedang menanti untuk menyambut pemimpin yang berwibawa itu keluar dari rumahnya bagi bersua muka dengan mereka lalu bersama mengabdikan diri kepada Yang Esa. Namun, pada pagi itu, tidak kelihatan orang yang ditunggu. Lalu diberitakan kepada seorang sahabat akrab beliau bagi mengetuai penduduk di situ dalam melaksanakan kewajipan mereka sebagai seorang hamba. Setelah selesai, masing-masing berdoa semoga pemimpin yang disayangi itu segera sembuh bagi meneruskan kepimpinan beliau di bumi barakah itu.
Namun, hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, sukar bagi mereka menemui wajah yang dimuliakan itu. Masing-masing mula berasakan perasaan tidak enak. Mereka meratap di hadapan Tuhan supaya segera menyembuhkan insan itu.

Lalu pada suatu pagi, seperti biasa, penduduk di bandar itu segera bergegas keluar bagi mengabdikan diri kepada Yang Esa. Dan seperti biasa, mereka menanti pemimpin tersebut untuk membuka tirai rumahnya bagi mengetuai mereka. Dengan hati yang penuh debaran kasih seorang rakyat, akhirnya mereka terlihat tirai itu diselak. Betapa meloncat kebahagian yang melanda di hati mereka, seperti si musafir di tanah gersang diberikan setitik air yang menghilangkan derita dahaga. Namun, diisyaratkan tangan itu agar sahabat akrabnya itu juga yang menggantikan beliau sekali lagi. Kekecewaan sekali lagi melanda mereka.
Akhirnya saat yang amat ditakuti semua telah tiba. Khabar bahawa pemimpin tersebut telah wafat tersebar luas ke setiap sudut penjuru dunia. Sahabat akrab pemimpin itu segera ke rumah beliau bagi memastikan kesahihan khabar itu. Lalu dibuka pintu rumah beliau, tanpa sepatah kata terungkap si sahabat terus menghadapkan wajahnya ke sekujur tubuh yang dimuliakan penduduk bumi dan langit. Ya, yang tinggal hanyalah sekujur tubuh tidak bernyawa. Rohnya telah dijemput oleh Kekasihnya yang abadi. Si sahabat berusaha menenangkan hatinya bagi mempercayai kenyataan itu.

Namun kisah ini belum berakhir. Seorang sahabat yang lain, juga sangat akrab kepada pemimpinnya tidak mahu menerima khabar itu malah beliau mengugut sesiapa yang berani mengiyakan kewafatan itu, pasti akan terpenggal lehernya. Lalu datanglah sahabat yang pertama tadi, dengan tenang menghadapkan wajahnya, menyusun bicara yang terbaik bagi menenangkan jiwa sahabatnya yang lara itu, lalu berkata:

"Barangsiapa antara kamu yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tapi jika kamu menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu maha hidup dan tidak pernah wafat."

Kemudian dituturkan sebaris ayat daripada Kitab yang dijadikan panduan hidup mereka sepanjang kehidupan mereka di dunia ini:
"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlaku sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau terbunuh kamu akan berpaling ke belakang (menjadi murtad)? Sesiapa yang berpaling ke belakang maka dia tidak mendatangkan mudarat sedikit pun pada Allah dan Allah memberi balasan kepada orang yang bersyukur"

Akhirnya tersungkurlah jiwa dan jasad sahabat yang tidak mahu menerima kenyataan tadi. Dengan tangisan hiba, beliau mengakui dan menerima pemergian pemimpin dan sahabat yang dicintainya itu.
Kisah ini tidak berakhir di sini. Perjuangan pemimpin itu telah disambung oleh sahabat-sahabatnya. Pelbagai kegemilangan telah dicapai semenjak pemergiannya namun ajaran darinya tidak pernah diabaikan oleh mereka. Sehinggalah ajaran yang agung itu berdiri tegak di bumi ini. Mereka sedar, perjuangan mereka tidak berakhir dengan kematian pemimpin mereka yang disayangi itu. Mereka juga sedar, pemimpin mereka tidak mengharapkan mereka terus meratap pemergiannya namun meneruskan sisa-sisa perjuangan beliau yang tinggal. Lalu dengan inspirasi yang ada mereka terus meneruskan perjuangan beliau, sehinggalah generasi berganti generasi yang baru lahir di muka bumi ini..


Saya percaya anda semua tahu dan dapat mengagak siapakah pemimpin yang dimuliakan itu. Dialah Nabi Muhammad s.a.w., Rasulullah Akhir Zaman dan Penutup Sekalian Nabi. Kita boleh mengutip ibrah dari kisah ini, betapa kematian orang yang amat kita sayangi itu suatu yang amat menyakitkan. Pedih, hingga terasakan dunia ini begitu sempit. Namun harus kita yang masih diberi peluang olehNya untuk terus mengabdikan diri di bumiNya ini mengambil hikmah dan pengajaran kerana maut tidak mengenal usia, masa, dan tempat. Kisah di atas juga mencerminkan betapa berat sekalipun ujian yang dihadapi, hidup harus diteruskan selagi nyawa dikandung jasad dan perjuangan harus diteruskan walau nyawa tercabut sudah. Siapakah yang mampu menyambung perjuangan kita setelah maut menjemput kita? Merekalah sahabat. Merekalah yang akan menyambung perjuangan kita yang sisa-sisa. Merekalah generasi baru yang akan menggantikan kita kelak. Buktinya, lihat sendiri hasil perjuangan kisah sahabat-sahabat di atas pada hari ini.

Akhir kalam buat post kali ini, saya mengucapkan "GOOD LUCK" kepada sahabat-sahabat saya yang sedang berhempas pulas memerah keringat bagi mengukir kejayaan dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi. DO THE BEST, LET ALLAH DO THE REST, MAY US BE BLESS... ^^

"Zaman Nabi Musa, martabat mereka diangkat atas kemahiran mereka dalam ilmu sihir...
Zaman Nabi Muhammad, martabat mereka diangkat masyarakat atas kepuitisan mereka dalam ilmu puisi..
Zaman kita, maruah dan martabat kita diangkat atas kejayaan mengukir kecemerlangan akademik dalam usaha berbakti kepada masyarakat.."

Wallahu'alam


2 comments:

Post a Comment