Pesona Peribadi Seorang Ibu

Friday, October 28, 2011

Suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang berkumpul bersama sahabatnya di masjid. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu memberi salam. Lantas baginda dan para sahabat menjawab salamnya. Lalu lelaki itu berkata:

"Duhai Rasululllah, Abdulllah bin Salam sakit kuat dan sedang sakarat menjemput maut. Dia memanggilmu." Sebaik mendengar katanya, baginda terus bangkit dan berkata, "Bangkitlah kalian semua, mari kita tengok saudara kita!"

Sampai di sana, kelihatan Abdullah bin Salam terbaring tidak terdaya, nafasnya tersekat-sekat. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. menghampirinya seraya membimbingnya untuk mengucapkan syahadah, "Abdullah, ucapkanlah Laa ilaha illallah Muhammadurrsarulullah!" Setelah mengucapkan 3x di telinganya, Abdullah bin Salam tidak boleh mengucapkannya seolah-olah mulutnya telah terkunci.

"La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim," kata Rasulullah s.a.w.

"Bilal, pergilah ke tempat isterinya dan tanyakan kepadanya apa yg telah dibuat oleh Alqamah (nama lain bagi Abdullah bin Salam) selama di dunia dan apa pekerjaannya," perintah baginda kepada Bilal.

Ketika Bilal menemuinya isteri Alqamah, lalu bertanyakan akan hal itu, isterinya menjawab, "Selama aku hidup bersamanya, aku tidak pernah melihat dia meninggalkan solat bersama Rasulullah, hampir setiap hari dia memberi sedekah. Tapi, dia ada MASALAH DENGAN IBUNYA."

Setelah dikhabarkan kepada Rasulullah s.a.w., baginda terus memerintahkan agar ibunya dibawa untuk berjumpa dengannya.

Setelah Bilal menemui ibunya, beliau berkata, "Anakmu Abdullah sedang sakaratul maut. Aku datang ke mari untuk meminta maaf atas kesalahan kalian berdua dan memperbaiki hubungan kalian."

"Aku tidak akan memaafkan kederhakaannya. Dia telah menyakiti aku. Aku tak akan memaafkannya di dunia mahupun akhirat!" jawab ibunya tegas.

Lalu Bilal kembali kepada Rasulullah dan menceritakan segalanya. Setelah itu, baginda bersabda, "Umar, Ali, kalian berdua kembalilah ke tempat ibunya dan bawa dia ke mari"

Tanpa bicara, dua sahabat itu terus berangkat ke rumah ibu Alqamah. Setelah tiba, ibu Alqamah bertanya, "Wahai Umar dan Ali, ada apa kalian datang ke mari?"
Jawab Umar, "Wahai ibu, Rasulullah s.a.w. memanggilmu."

"Untuk apa?" Tanyanya.

"Nanti kau juga akan tahu, yang penting ikutlah kami menemui baginda." Tukas Umar.

Mereka bertiga akhirnya sampai di hadapan Rasulullah s.a.w. yang berada hampir dengan Alqamah. Baginda bersabda, "Wahai ibu, lihatlah anakmu yang sedang di ambang kematian ini. Maafkanlah dia."

"Aku tidak akan memaafkannya, baik di dunia dan akhirat!" Kata ibu Alqamah.

"Maafkanlah. Adakah kau tidak kasihan padanya sampai tidak dapat mengucapkan dua kalimah syahadah," pinta Rasulullah.

"Bagaimana aku akan memaafkannya? Dia memukulku dan mengusirku dari rumahnya kerana mementingkan isterinya,"

Lalu baginda memerintahkan para sahabat mengumpulkan kayu bakar dan melonggokkannya di samping Alqamah.

"Untuk apa ya Rasulullah?" Tanya ibu.

"Untuk membakar anakmu! Kerana kau tidak mahu memaafkannya!"

Melihat anaknya hendak dibakar hidup-hidup, hati si ibu luluh, lantas berkata, "Baiklah, demi kebenaran risalahmu duhai Rasulullah, aku memaafkan segala kesalahan puteraku."

Setelah itu, Rasulullah menghampiri Alqamah lalu mengajarkannya untuk mengucap. Akhirnya Alqamah mengucap terkumat-kamit dengan jelas.

"Innalillah wa inna ilaihi raji'un," ucap baginda dan para sahabat.

Setelah selesai menguruskan jenazah Alqamah, baginda ke masjid lalu bersabda:

"Wahai kaum muslimin sekalian, ingatlah, orang yang mementingkan isterinya dan menyiakan ibunya sehingga ibunya tidak reda kepadanya akan terancam mati tidak bersyahadat!"

Lihat, betapa tinggi PESONA PERIBADI seorang ibu yang mengandung dan melahirkan kita di dunia ini. Di manakah kita meletakkan wajah dan kasih kita kepada ibu di ruang hati kita? Sedangkan baginda melarang umatnya daripada melebihkan isteri, apa lagi jika mahu melebihkan rakan mahupun harta atau kerjaya. Selagi kita masih punya ibu, teruskanlah berbakti kepadanya. Bagi yang sudah meninggal ibunya, percayalah, ibu anda masih ada. Anda masih belum kehilangannya. Ibu anda sedang menanti anda di alam sana, bagi meneruskan arus kasih ibu dan anak di alam sana pula. Berdoalah, agar kita akan bersama dengannya selalu, bukan di dunia sahaja, akhirat jua inshaAllah.

0 comments:

Post a Comment