Azan Penyelamat Kota Baghdad Bahagian 1

Friday, October 28, 2011



KOTA BAGHDAD terang dengan cahaya purnama. Beberapa orang masih terjaga, namun banyak juga yang telah menutup jendela dan pintu rumahnya.

Lelaki setengah baya berjubah putih  itu masih asyik dalam tadabburnya. Hanya dia ditemani dengan al Quran di dalam masjid itu kerana memang dialah yang diamanahkan untuk menjadi imam dan pengurus masjid itu. Biasanya dia ditemani oleh seorang anak muda, namun anak muda itu telah pulang menjenguk orang tuanya.

Tiba-tiba, kedengaran suara jeritan seorang wanita meminta tolong. Semakin lama, suara itu semakin hampir.

"Tolong! Tolonglah saya wahai penduduk Baghdad!"

Imam itu melihat ke arah suara itu. Kelihatan sekujur tubuh seorang wanita berlari ke arahnya. Lantas dia menutup mushafnya sebagai tanda menutup tadabburnya malam itu.

"Tolong saya tuan! Tolonglah saya! Saya hendak dijahati oleh komanden Turki yang bengis itu! Tolonglah saya!" Wanita muda itu bermuka pucat dan dalam ketakutan yang amat.

"Tenanglah. Kamu inshaAllah akan selamat di rumah Allah ini. Tenanglah!" Dia berusaha menenangkan wanita itu, meskipun nuraninya agak kecut seraya mendengar nama komanden Turki yang terkenal dengan kezalimannya ke atas penduduk.

Dengan kekuatan dan kekuasaan bersama dengan anak-anak buahnya, komanden Turki itu telah menjelma sebagai Firaun baru di Kota Baghdad. Komanden itu sangat ditakuti oleh penduduk, tetapi disayangi oleh khalifah kerana khalifah itu tidak pernah tahu akan semua kejahatannya, tetapi yang beliau tahu hanyalah kesetiaan dan prestasi yang gemilang dicapai oleh komanden itu.

Bagi rakyat biasa, komanden Turki itu ialah makhluk yang sangat menakutkan. Sudah ramai yang diminta isteri-isteri mereka secara paksa. Kalau melawan, nescaya akan dikasari dan difitnah kemudian dipenjara atas tuduhan membuat kekacauan.

"Bagaimana kamu boleh terlibat dengan komanden itu? Di mana dia sekarang?" Tanya imam.

Sambil menangis, wanita itu bercerita, suaminya sedang sakit kuat. Usai solat Isyak, dia keluar mencari tabib. Namun, malang tak berbau, di tengah jalan, dia bertembung dengan komanden dan anak-anak buahnya itu yang sedang mabuk. Lantas dia ditangkap dan dikurung di rumah komanden itu. Dia tahu, dia akan dinodai. Ketika komanden itu sedang lengah, dia berjaya keluar dari rumahnya dengan meloncat keluar melalui tingkap. Kaki kanannya terseliuh, namun dia segera berlari. Sepanjang jalan dia berteriak meminta tolong namun tiada siapa yang mahu membuka pintu rumahnya.Sementara itu, si komanden dan anak-anak buahnya sedang mengejarnya. Akhirnya dia terlihat sebuah masjid yang masih terbuka pintunya, mengharapkan masih ada penghuni di dalamnya.

"Tenanglah, di rumah Allah ini kamu akan aman. Allah yang akan melindungimu," imam itu menenangkan wanita itu, sambil menenangkan dirinya sendiri. Dia yakin, sebentar lagi dia akan berhadapan dengan dajjal itu. Dia minta wanita itu duduk jauh di samping sebuah tiang sementara dia sibuk memikirkan jalan keluar.

Tiba-tiba..

"Ha ha ha! Di sini rupanya kau! Ke sini kau manis! Tiada gunanya kau bersembunyi di masjid! Tiada gunanya kau meminta tolong dengan si imam tengik itu! Bahkan ayahmu, suamimu tak akan mampu menolongmu, jika aku mahukanmu!"

Suara jeritan itu memecahkan keheningan malam itu. Imam dan wanita itu terkejut. Wanita itu menggigil ketakutan kembali.




Bersambung...

0 comments:

Post a Comment