Azan Penyelamat Kota Baghdad Bahagian 2

Friday, October 28, 2011



Komanden itu menghampiri mereka diikuti oleh dua orang pengikut. Bau arak begitu kuat daripada mulut mereka. Melihat sikap tiga orang dajjal itu, kemarahan imam muda mula terpancar. Keberaniannya terkumpul.

"Wahai dajjal! Malam ini merupakan malam terakhir buat segala kejahatanmu! Kau akan menjadi peringatan bagi semua penduduk Baghdad, sebagaimana Firaun menjadi peringatan buat sekalian umat manusia! Kezaliman pasti binasa!"

Si komanden terketawa.

"Sudahlah imam. Kau jangan nak berkhutbah. Kita berdamai sahaja. Serahkan sahaja wanita itu. Aku jamin, aku dan anak buahku tidak akan mengganggumu, juga isteri dan seluruh kerabatmu. Bagaimana? Anggaplah ini sebagai bentuk penghormatan buatmu sebagai imam. Bagaimana imam?"

"Wanita ini telah meminta bantuanku. Dan aku telah berjanji untuk membantunya. Bahkan aku katakan, dia akan aman di rumah Allah ini. Maka kau tidak boleh menyentuhnya sebelum kau langkah mayatku!" Jawab imam dengan mata yang membara.

Mendengar jawapan itu, komanden mula berang lalu menjawab, "Masih ada pembangkang rupanya! Beri pengajaran kepada imam yang bak pahlawan ini!"

Tanpa bicara, kedua-dua anak buahnya menyerang imam itu dengan ganas. Tak berapa lama kemudian, imam itu jatuh tersungkur. Mereka mengikatnya di tiang masjid, dalam keadaan mukanya yang lebam. Komanden menghampiri, lalu meludah ke mukanya.

"Hoi pahlawan! Aku berjanji, aku akan cari anak gadismu dan kujadikan dia terhina seperti yang lain!" Kata komanden itu dengan penuh dendam.

Imam menjawab dengan lirih, "Esok, sebelum matahari terbenam, kau akan diludahi oleh seluruh penduduk kota Baghdad. Allah maha mendengar doa hambaNya yang teraniaya."

Mendengar kata-kata itu, si komanden naik berang lalu meludahinya sekali lagi. Kemudian dia mengambil cambuknya lalu memukul imam itu beberapa kali. Muka imam itu merah berdarah. Jubahnya yang putih kini kemerahan. Sementara itu, wanita yang menyaksikan kejadian itu menjerit-jerit lalu jatuh tidak sedarkan diri.

Tubuh imam itu benar-benar seperti kain lusuh. Setelah puas, komanden itu menyuruh anak buahnya melepaskan imam itu. Tubuh itu lantas rebah menyembah bumi. Si komanden itu kemudian beranjak ke arah wanita itu lalu digendongnya. Sambil tertawa, mereka keluar dari masjid yang berdarah itu.

Di tengah jalan, wanita itu mula sedarkan diri lalu meronta-ronta dan berteriak meminta tolong. Si komanden lantas menyumbat sesuatu ke dalam mulutnya. Wanita itu terus meronta sambil matanya terus basah mengalirkan air mata.

*********************************

Dengan tubuh yang remuk redam, imam itu berusaha mengumpul segala tenaganya lalu bangkit. Dia bayangkan jika wanita tadi isteri atau anak gadisnya. Dia bertekad, kezaliman komanden itu harus dihentikan segera.

Setelah bangkit, dia berusaha memikirkan sesuatu. Akhirnya dia terfikirkan sesuatu. Azan. Dia akan menghentikan kezaliman ini dengan azan. Subuh masih belum tiba, tapi dia harus azan. Dia segera ke menara lalu melaungkan azan.

"Hayya 'alal falah... Hayya 'alal falah..."

Kota Baghdad kecoh. Tak lama kemudian, khalifah dan para menteri datang. Khalifah marah-marah kerana menganggap imam itu main-main.

"Azan itu ada aturannya! Kamu sebagai imam, takkan kamu tak tahu!" Sang khalifah  mengherdik. Imam meminta maaf, lalu berkata:

"Tapi saya tiada cara lain lagi bagi membanteras kemungkaran yang berlaku. Lihatlah tubuh saya wahai khalifah. Azan yang kualunkan tadi bagi menyedarkan tuanku. Ada sebuah kemungkaran yang berlaku di belakang tuanku."

Lalu diceritakan kepada khalifah perihal segala kezaliman komanden Turki itu. Juga nasib wanita muda yang kini berada dalam genggamannya.

"Jika terus dibiarkan, tak mustahil dia akan berani melakukan hal yang sama kepada permaisuri tuanku atau mungkin puteri tuanku. Tiada yang mampu mencegahnya melainkan tuanku." Kata imam membakar kemurkaan khalifah.

Khalifah lantas mengeluarkan titah, "Kerjakan dia, buatkan dia tak terdaya! Dan esok siang, arak dia di jalan-jalan utama Kota Baghdad sebagai pengajaran buat siapa-siapa yang berlaku zalim dan bongkak di muka bumi ini!"

Perintah khalifah segera terlaksana. Komanden dajjal itu diserkup di saat dia hendak menodai wanita itu. Anak-anak buahnya yang menentang lantas tersungkur di bawah tapak kaki para tentera yang terlatih. Komanden itu terus dikerjakan hingga tubuhnya remuk tak terdaya. Siangnya, dia diheret dan diarak dengan kuda bagi dipertontonkan kepada penduduk Baghdad. Di sepanjang jalan, dia diludahi oleh mereka yang mengetahui kezalimannya.

Kisah imam dan senjata azannya menjadi masyhur. Kewibawaan ulama terangkat. Doa dan kata-kata ulama tidak lagi diremehkan.

*THE END*

Lalu apakah ibrah yang boleh kita kaut dalam kisah di atas? Setiap daripada kita tahu, doa merupakan senjata orang mukmin. Secara kasarnya, kisah di atas mempamerkan kemenangan buat seorang imam muda ke atas seorang komander yang zalim. Namun hakikatnya Allah yang membanteras kezaliman dajjal itu. Mengapa? Jika Allah tidak menurunkan ilham untuk melaungkan azan kepada imam itu, pasti imam itu tidak akan punya jalan solusi, wanita itu akan dinodai, kezaliman komander itu terus berleluasa, khalifah terus diperbodohkan, lebih ramai mangsa terlibat dan pastinya pengakhiran kisah ini tak akan berlaku seperti mana yang kita baca tadi. Benar kan?

Maka segalanya kembali kepada Allah. Kita sebagai pelajar yang berjuang di medan ilmu, kewajipan untuk kita terus meletakkan Dia di hadapan kita tak patut terlupa. Mahukah kita menjadi hamba yang derhaka?

Akhir kalam, mungkin ada di antara kita yang akan menghadapi situasi sedemikian ketika memegang amanah sebagai musyrif akhawat di bumi mesir ini. Bolehlah ambil tips daripada kisah di atas. Ye tak? =)

Wallahu'alam

0 comments:

Post a Comment