Bayu dan Taufan

Friday, October 28, 2011

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran"   (Surah el 'asr ayat 1-3)


Sering kali kita mendengar surah ini dibacakan. Tak kira walau di mana majlis yang diadakan, selalunya kita akan membaca surah ini sebagai menutup majlis atas dasar adab dalam memelihara keberkatan majlis yang diadakan. Namun sejauh mana kita mampu menghayati, atas sebab apa surah ini dipilih bagi menutup majlis? Adakah kerana surah ini yang paling ringkas, jadi cepat sedikit untuk kita akhirkan majlis itu? Kalau benar, kenapa tak dipilih surah el Kauthar? Kan surah itu yang paling pendek?

Pernahkah kita mendengar kalam Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"2 nikmat yang sering manusia lupa. Nikmat sihat dan masa lapang"

Kehidupan kita di dunia ini ibarat lilin yang menyala. Ada kalanya api nyalaannya ditiup dengan bayu nan lembut, sehingga kita senang dengannya. Ada kalanya api nyalaannya disergah dengan taufan awan yang mendung, sehingga hampir sahaja lilin itu berputus asa dalam memelihara nyalaannya agar sentiasa gah berada di atasnya.

Ketika bayu nan lembut itu terus meniup api nyalaan kita, hati kita berasa senang. Malah kita berasa indah dengan membiarkan api nyalaan kita menari-nari, asyik dalam dunia kesenangan yang diberi kepada kita. Namun, sedarkah kita, walaupun dengan bayu nan lembut itu, juga mampu memadamkan api nyalaan kita tanpa kita sedari? Ya, apabila kita mula alpa dan leka dengan bayu tersebut, maka tanpa sedar, api kita mula malap lalu terpadamlah ia dengan sendirinya.



Ketika taufan pula melanda, kita bersusah payah menahan api nyalaan kita daripada terpadam. Sehingga diletakkan tembok besar bagi menahan taufan itu, semata-mata bagi memelihara api nyalaan kita. Ketika itu, kita mula sedar akan pentingnya api nyalaan kita itu. Andai terpadam api itu, maka gelap-gelitalah keadaan kita.



Ketahuilah, sesungguhnya api itu ialah umur kita, bayu itulah nikmat dunia, manakala taufan itu pula ialah ujian. Ketika bayu itu tiba, kita leka dengan nikmat dunia. Hanyut dalam kelalaian. Andai di kala bayu itu tiba, kita masih sedar akan pentingnya api nyalaan kita itu, sudah tentu di kala itu jua kita akan memanfaatkan nyalaan itu agar ianya tak menjadi sia-sia. Malah kita juga pasti mencari sesuatu bagi melindungi api nyalaan kita daripada taufan yang bila-bila sahaja boleh tiba. Adakah apabila taufan mula melanda, baru kita kalut mencari tempat perlindungan? Andai sudah terlambat, nescaya terpadamlah api itu buat selama-lamanya.

Maka sementara kita masih berada dalam bayu itu, gunakanlah sebaik-baiknya. Jangan biarkan diri kita hanyut dalam kealpaan, hinggakan apabila kita mula sedar akan hal itu, ianya sudah terlambat. Api lilin itu boleh terpadam di kala bayu nan lembut bertamu, boleh juga terpadam apabila taufan mendung menyerbu. Sementara api itu masih ada, manfaatkanlah ia sebaiknya.

Wallahu'alam

0 comments:

Post a Comment