Permata Sedekah

Friday, October 28, 2011

Diriwayatkan oleh seorang ulama besar, Fudhail Bin ‘Iyadh..

Ada seorang lelaki yang keluar dengan seekor kambing. Dia menjual kambingnya dengan harga satu dirham untuk membeli tepung. Kemudian, dia melalui dua orang yang sedang berkelahi, lalu dia berkata “Apa ini?”
Dijelaskan kepadanya bahawa mereka sedang berkelahi hanya kerana merebutkan satu dirham. Maka, terbitlah perasaan kemanusiaannya untuk memberikan satu dirham miliknya kepada mereka. Setelah itu, dia pulang lalu bercerita kepada isterinya akan apa yang telah terjadi.

Isterinya lantas mengumpulkan apa saja yang ada di rumah untuk si suami jual , tapi semuanya tidak laku. Lalu dia pulang ke rumah dalam keadaan longlai, tiba-tiba datang seorang lelaki yang sedang membawa seekor ikan yang rosak.

Pembawa ikan itu berkata, “Engkau membawa barang yang tidak laku, begitu juga dengan aku. Bagaimana jika aku membeli barang milikmu dengan yang aku bawa ini?”

Dia setuju. Mereka berdua saling menukar barang, lalu dia pulang ke rumah. Sampai di rumah, dia berkata:

“Wahai isteriku, bersihkanlah ikan itu segera! Kerana kita hampir mati kelaparan.”

Isterinya segera membersihkan ikan itu. Saat membelah perut ikan itu, didapati sebutir mutiara dalam perut ikan itu. Si isteri segera keluarkannya, seraya berkata kepada suaminya:

“Suamiku, ada sesuatu keluar daripada perut ikan ini, agaknya mutiara! Apakah kamu tahu berapa harga kira-kira mutiara ini?”
“Tidak tahu,” jawabnya, “tapi aku punya teman yang mengerti akan hal itu.”

Dia ambil mutiara itu untuk dibawa ke tempat temannya yang ahli mutiara. Apabila tiba, dia memberi salam lalu menceritakan akan apa yang telah terjadi.

“Temanku, lihatlah, berapa kira-kira harga mutiara ini?” Katanya.

Setelah meneliti dengan saksama, temannya menjawab:

“Saya hanya mampu membeli dengan harga 40 000 dirham. Jika kamu mahu, akan kubayar sekarang juga. Tapi jika kamu mahu lebih dari itu, pergilah temui orang ini, kerana dia akan membeli dengan harga yang lebih tinggi daripadaku.”

Dia pun pergi menemui lelaki yang dimaksudkan. Setelah memeriksanya, lelaki itu berkata:

“Saya hanya boleh membayar dengan harga 80 000 dirham. Jika kamu mahu lebih dari ini, temuilah orang ini. Saya yakin dia akan membayarmu dengan lebih besar.”

Dia pun bersegera menemui lelaki yang dimaksudkan. Lelaki yang ketiga itu berkata:

“Saya akan membayar dengan harga 120 000 dirham. Saya rasa tidak akan ada yang membayarnya lebih tinggi daripada itu.”

Dengan penuh kerelaan, dia berkata, “Baiklah kalau begitu.”

Dia pulang dengan membawa 12 bungkusan yang di dalamnya masing-masing berisi 10 000 dirham. Ketika hendak masuk ke dalam rumah, dilihatnya ada seorang fakir berdiri meminta di depan rumahnya.

Melihat orang fakir itu, terbitlah rasa hibanya. Dengan mata berkaca dia berkata, “Saudaraku, sama seperti keadaanmu saat inilah keadaanku dulu. Masuklah!” Lalu dia memberikan separuh daripada hartanya kepada fakir itu, sebanyak 6 bungkusan.

Belum jauh fakir itu pergi, dia kembali lagi kepada lelaki itu dan berkata:

“Saya bukanlah orang miskin, tapi malaikat utusan Tuhanmu untuk menemuimu. Allah memberimu balasan 1 dirham dengan 20 QIRATH. Ini adalah satu qirath yang diberikanNya kepadamu. Adapun 19 QIRATH lagi Dia simpan untukmu di akhirat kelak."


Wallahu'alam =)



0 comments:

Post a Comment