coretan separuh jiwa

Saturday, April 7, 2012



Wahai separuh jiwaku..
Puisi ini diukir ketika separuh jiwa bergolak..
Jiwa seorang hamba yang kekosongan.. 
Dek kerana taufan fitnah yang terus menjangkiti insan.. 
Walaupun jiwanya terus basah disirami cinta Ilahi..
Namun mahabbah itu begitu sukar dicapai..
Selagi tiada temui separuh jiwaku lagi..
Kerana hanya dirimu yang bisa melengkapkan jiwaku..


Wahai separuh jiwaku..
Dalam kumenanti hadirmu di sisi..
Usahaku memupuk cintaNya bagai air yang terus mengalir..
Yang ada pasang surutnya..
Kerana aku ingin mencintaimu dengan cinta suci..
Bukan cinta nafsu yang hanya sementara..
Tapi cinta yang mengiringi kita berdua dalam rahmatNya..
Maka..
Pupuklah jua cintamu terhadapNya..
Jangan mudah kau dijinakkan oleh cinta dunia yang sementara..
Andai cintamu turut keranaNya..
Bertemulah dua jiwa dalam wasilah suci..

Wahai separuh jiwaku..
Dalam kumenanti hadirmu di sisi..
Kubina peribadi yang teguh..
Bagi menghadapi dunia yang penuh lakonan dan fitnah..
Suatu pentas yang mampu mengubah sebuah watak kepada watak yang lain..
Hanya peribadi Quran dan Sunnah yang layak menjadi pemandu..
Sesuai dengan wasiat Sang Kekasih kepada umat yang dikasihi..
Maka..
Teguhkanlah dirimu dengan wasiat keramat itu..
Agar tegar redahi setiap duri mehnah dan madah dunia..
Dan kita bertemu dalam pertemuan yang zuhud..
Zuhud dalam rancanganNya di Luh Mahfuz..
Dengan tiada antara kita yang tenggelam..
Selamat bertemu di daratan kasih abadi..


Wahai separuh jiwaku..
Dalam kumenanti hadirmu di sisi..
Kugenggam maruahku di hadapan dunia..
Agar maruahku tak tercalar di mata penduduk bumi dan langit..
Setiap aibku yang hanya antara Dia dan aku ketahui..
Maka..Jangan kauinjak maruahmu di mata dunia..
Seperti pasir di pantai yang tetap setia..
Walau terus dibantai ombak..
Angkatlah maruahmu agar kiramah ada di pundakmu..
Agar pertemuan kita ialah dua jiwa bermaruah..
Bermaruah jua di mata penduduk langit.. 


Wahai separuh jiwaku..
Sungguh terlalu kuharapkan kesempurnaan dirimu..
Hingga kulupa mencerminkan diriku..
Yang serba kekurangan dengan kecacatan..
Maka..
Aku sedia bertemu denganmu..
Walau ada antara kita serba kecacatan..
Kerana kita hanya makhluk yang tiada kesempurnaan..
Namun yang kurang itulah yang melengkapi musafir kita..
Kerana apabila dua jiwa bersatu..
Maka lengkaplah sebuah jiwa..
Yang seiring mendambakan mardhatillah..
Sinar mawaddah menembusi ke SyurgaNya..