Rezeki Mai Dah~

Friday, October 28, 2011




Pada suatu petang, di salah sebuah rumah di Camp Caesar yang didiami oleh beberapa mahasiswa perubatan Mesir dilawati oleh seorang sahabat...

“Ting Tong”

“Kejap-kejap.. Aku nak buka ni”

“Assalamualaikum.. Amir (bukan nama sebenar), kau dah masak dah? Aku lapar gila ni.. Breakfast aku tak sempat ambik tadi, bangun lewat kan, so dah alang-alang aku mai je la rumah kau.. Ha cepat la masak.. hehe..”

“La muka mamat ni lagi.. Semalam pun muka dia, kelmarin pun muka dia.. Esok muka ni lagi la kot..”  (kata hati) “Erm ok masuklah.. Aku tengah masak kat dapur ni”

Itulah senario yang kita alami, ataupun saksikan pada setiap hari dalam kehidupan kita. Ada yang melihat senario di atas hanyalah perkara biasa. Maka mereka masing-masing, tetamu yang bertamu mahupun tuan rumah yang bertuan, hanya endah tak endah dengan apa yang berlaku.

Setiap perkara, ada akarnya, dan adab ialah akar kepada sebuah perhubungan. Pada zaman kegemilangan Islam yang lalu, para pelajar mendalami ilmu adab sebelum menerajui sebarang bidang yang membawa kemajuan Negara Islam mereka. Mari kita kembali semula kepada syariat yang berbicara tentang perkara yang sangat berkait dengan keadaan di atas.

Tuan Rumah

Hadis Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat,  hendaklah dia memuliakan tetamu”

Islam meletakkan tetamu itu di satu kedudukan yang mulia, sehingga diperintahkan kepada umat Islam supaya memuliakan tetamunya. Sehinggakan dikatakan, tetamu yang bertamu itu sebenarnya membuka pintu rezeki. Mungkin ada antara kita susah hati apabila datangnya sahabat kita yang ingin bertamu, “Habislah lauk aku hari ni” “Erk, cukup ke lauk aku ni” “Adoi nampaknya bulan ni nak kena tambah lagi la bajet, tiap-tiap hari cam ramai je yang mai umah aku ni..” “Hah??? Mamat ni tak ada rumah ke?? Ish, aku bakar jugak kang rumah dia ni........”

Percayalah saudara, anda sebenarnya tak rugi, malah sebenarnya Allah ingin melipat-gandakan rezeki anda. Allah tak pernah mungkir janji. Tiap hukumNya hanyalah untuk kebaikan hambaNya, bukanlah untuk diriNya. Dia tak lemah dan tak akan lemah hanya kerana hambaNya tidak meletakkan ketaatan kepadaNya. Malah Dia berjanji untuk meluaskan pintu rezeki kepada kita. Lalu apakah kita masih mahu meragui, dengan berkata tetamu yang datang hanya membawa musibah kepada kita?? Ya, memang betul, musibah itu ialah kurangnya stok makanan kita dalam peti ais, tapi percayalah, rezeki itu ada di mana-mana. Siapa tahu, kalau anda tak mengeluarkan makanan itu pada hari itu, anda sudah tak mampu mengeluarkannya lagi sampai bila-bila kerana terpaksa melihat makanan itu terhidang dalam bakul sampah, bukan lagi dalam hidangan dinner. Kan sudah hilang rezeki itu tanpa kita sedar.




Tetamu

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ziarahilah jarang-jarang, nescaya akan bertambah kasih sayang”

Manusia itu makhluk yang mudah lupa dan berasa jemu. Ini suatu fakta yang harus kita akui. Dengan itu, Allah mensyariatkan kepada hambaNya sesuai dengan sifatnya. Mungkin kita menganggap sahabat yang kita ziarahi itu sebagai member, maka perasaan malu itu dirasakan tak perlu, terus dipendam hingga ke dasar. Cuba kita meletakkan diri kita di tempatnya. Adakah kita berasa selesa apabila setiap hari rumah kita bertamukan orang yang sama dan memiliki ketebalan muka 5 inci? Ingatlah, orang tua kita pun selalu mengingatkan kita, betapa kita sebagai tetamu tak layak meninggikan suara di rumah tuan rumah, apa lagi ingin menjadikan tuan rumah sebagai kuli kita.

Sebagaimana yang diajarkan oleh baginda, mengapakah apabila kita jarang-jarang menziarahi sahabat kita, boleh bertambah kasih sayang?

Kerana perasaan hangat yang tiba apabila dipendam lama-lama, apabila bersua, meloncatlah perasaan itu. Inilah RINDU

Perasaan kasih sayang itu akan lebih kuat bersemi apabila RINDU itu turut menghiasi sebuah persaudaraan.


Akhir kalam, renung kembali, apabila kita bertamu di rumah sahabat kita, di manakah kita meletakkan diri kita? Sebagai commercial? Beneficence? Atau parasites? ^^

Wallahu’alam

Bayu dan Taufan

"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran"   (Surah el 'asr ayat 1-3)


Sering kali kita mendengar surah ini dibacakan. Tak kira walau di mana majlis yang diadakan, selalunya kita akan membaca surah ini sebagai menutup majlis atas dasar adab dalam memelihara keberkatan majlis yang diadakan. Namun sejauh mana kita mampu menghayati, atas sebab apa surah ini dipilih bagi menutup majlis? Adakah kerana surah ini yang paling ringkas, jadi cepat sedikit untuk kita akhirkan majlis itu? Kalau benar, kenapa tak dipilih surah el Kauthar? Kan surah itu yang paling pendek?

Pernahkah kita mendengar kalam Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"2 nikmat yang sering manusia lupa. Nikmat sihat dan masa lapang"

Kehidupan kita di dunia ini ibarat lilin yang menyala. Ada kalanya api nyalaannya ditiup dengan bayu nan lembut, sehingga kita senang dengannya. Ada kalanya api nyalaannya disergah dengan taufan awan yang mendung, sehingga hampir sahaja lilin itu berputus asa dalam memelihara nyalaannya agar sentiasa gah berada di atasnya.

Ketika bayu nan lembut itu terus meniup api nyalaan kita, hati kita berasa senang. Malah kita berasa indah dengan membiarkan api nyalaan kita menari-nari, asyik dalam dunia kesenangan yang diberi kepada kita. Namun, sedarkah kita, walaupun dengan bayu nan lembut itu, juga mampu memadamkan api nyalaan kita tanpa kita sedari? Ya, apabila kita mula alpa dan leka dengan bayu tersebut, maka tanpa sedar, api kita mula malap lalu terpadamlah ia dengan sendirinya.



Ketika taufan pula melanda, kita bersusah payah menahan api nyalaan kita daripada terpadam. Sehingga diletakkan tembok besar bagi menahan taufan itu, semata-mata bagi memelihara api nyalaan kita. Ketika itu, kita mula sedar akan pentingnya api nyalaan kita itu. Andai terpadam api itu, maka gelap-gelitalah keadaan kita.



Ketahuilah, sesungguhnya api itu ialah umur kita, bayu itulah nikmat dunia, manakala taufan itu pula ialah ujian. Ketika bayu itu tiba, kita leka dengan nikmat dunia. Hanyut dalam kelalaian. Andai di kala bayu itu tiba, kita masih sedar akan pentingnya api nyalaan kita itu, sudah tentu di kala itu jua kita akan memanfaatkan nyalaan itu agar ianya tak menjadi sia-sia. Malah kita juga pasti mencari sesuatu bagi melindungi api nyalaan kita daripada taufan yang bila-bila sahaja boleh tiba. Adakah apabila taufan mula melanda, baru kita kalut mencari tempat perlindungan? Andai sudah terlambat, nescaya terpadamlah api itu buat selama-lamanya.

Maka sementara kita masih berada dalam bayu itu, gunakanlah sebaik-baiknya. Jangan biarkan diri kita hanyut dalam kealpaan, hinggakan apabila kita mula sedar akan hal itu, ianya sudah terlambat. Api lilin itu boleh terpadam di kala bayu nan lembut bertamu, boleh juga terpadam apabila taufan mendung menyerbu. Sementara api itu masih ada, manfaatkanlah ia sebaiknya.

Wallahu'alam

Azan Penyelamat Kota Baghdad Bahagian 2



Komanden itu menghampiri mereka diikuti oleh dua orang pengikut. Bau arak begitu kuat daripada mulut mereka. Melihat sikap tiga orang dajjal itu, kemarahan imam muda mula terpancar. Keberaniannya terkumpul.

"Wahai dajjal! Malam ini merupakan malam terakhir buat segala kejahatanmu! Kau akan menjadi peringatan bagi semua penduduk Baghdad, sebagaimana Firaun menjadi peringatan buat sekalian umat manusia! Kezaliman pasti binasa!"

Si komanden terketawa.

"Sudahlah imam. Kau jangan nak berkhutbah. Kita berdamai sahaja. Serahkan sahaja wanita itu. Aku jamin, aku dan anak buahku tidak akan mengganggumu, juga isteri dan seluruh kerabatmu. Bagaimana? Anggaplah ini sebagai bentuk penghormatan buatmu sebagai imam. Bagaimana imam?"

"Wanita ini telah meminta bantuanku. Dan aku telah berjanji untuk membantunya. Bahkan aku katakan, dia akan aman di rumah Allah ini. Maka kau tidak boleh menyentuhnya sebelum kau langkah mayatku!" Jawab imam dengan mata yang membara.

Mendengar jawapan itu, komanden mula berang lalu menjawab, "Masih ada pembangkang rupanya! Beri pengajaran kepada imam yang bak pahlawan ini!"

Tanpa bicara, kedua-dua anak buahnya menyerang imam itu dengan ganas. Tak berapa lama kemudian, imam itu jatuh tersungkur. Mereka mengikatnya di tiang masjid, dalam keadaan mukanya yang lebam. Komanden menghampiri, lalu meludah ke mukanya.

"Hoi pahlawan! Aku berjanji, aku akan cari anak gadismu dan kujadikan dia terhina seperti yang lain!" Kata komanden itu dengan penuh dendam.

Imam menjawab dengan lirih, "Esok, sebelum matahari terbenam, kau akan diludahi oleh seluruh penduduk kota Baghdad. Allah maha mendengar doa hambaNya yang teraniaya."

Mendengar kata-kata itu, si komanden naik berang lalu meludahinya sekali lagi. Kemudian dia mengambil cambuknya lalu memukul imam itu beberapa kali. Muka imam itu merah berdarah. Jubahnya yang putih kini kemerahan. Sementara itu, wanita yang menyaksikan kejadian itu menjerit-jerit lalu jatuh tidak sedarkan diri.

Tubuh imam itu benar-benar seperti kain lusuh. Setelah puas, komanden itu menyuruh anak buahnya melepaskan imam itu. Tubuh itu lantas rebah menyembah bumi. Si komanden itu kemudian beranjak ke arah wanita itu lalu digendongnya. Sambil tertawa, mereka keluar dari masjid yang berdarah itu.

Di tengah jalan, wanita itu mula sedarkan diri lalu meronta-ronta dan berteriak meminta tolong. Si komanden lantas menyumbat sesuatu ke dalam mulutnya. Wanita itu terus meronta sambil matanya terus basah mengalirkan air mata.

*********************************

Dengan tubuh yang remuk redam, imam itu berusaha mengumpul segala tenaganya lalu bangkit. Dia bayangkan jika wanita tadi isteri atau anak gadisnya. Dia bertekad, kezaliman komanden itu harus dihentikan segera.

Setelah bangkit, dia berusaha memikirkan sesuatu. Akhirnya dia terfikirkan sesuatu. Azan. Dia akan menghentikan kezaliman ini dengan azan. Subuh masih belum tiba, tapi dia harus azan. Dia segera ke menara lalu melaungkan azan.

"Hayya 'alal falah... Hayya 'alal falah..."

Kota Baghdad kecoh. Tak lama kemudian, khalifah dan para menteri datang. Khalifah marah-marah kerana menganggap imam itu main-main.

"Azan itu ada aturannya! Kamu sebagai imam, takkan kamu tak tahu!" Sang khalifah  mengherdik. Imam meminta maaf, lalu berkata:

"Tapi saya tiada cara lain lagi bagi membanteras kemungkaran yang berlaku. Lihatlah tubuh saya wahai khalifah. Azan yang kualunkan tadi bagi menyedarkan tuanku. Ada sebuah kemungkaran yang berlaku di belakang tuanku."

Lalu diceritakan kepada khalifah perihal segala kezaliman komanden Turki itu. Juga nasib wanita muda yang kini berada dalam genggamannya.

"Jika terus dibiarkan, tak mustahil dia akan berani melakukan hal yang sama kepada permaisuri tuanku atau mungkin puteri tuanku. Tiada yang mampu mencegahnya melainkan tuanku." Kata imam membakar kemurkaan khalifah.

Khalifah lantas mengeluarkan titah, "Kerjakan dia, buatkan dia tak terdaya! Dan esok siang, arak dia di jalan-jalan utama Kota Baghdad sebagai pengajaran buat siapa-siapa yang berlaku zalim dan bongkak di muka bumi ini!"

Perintah khalifah segera terlaksana. Komanden dajjal itu diserkup di saat dia hendak menodai wanita itu. Anak-anak buahnya yang menentang lantas tersungkur di bawah tapak kaki para tentera yang terlatih. Komanden itu terus dikerjakan hingga tubuhnya remuk tak terdaya. Siangnya, dia diheret dan diarak dengan kuda bagi dipertontonkan kepada penduduk Baghdad. Di sepanjang jalan, dia diludahi oleh mereka yang mengetahui kezalimannya.

Kisah imam dan senjata azannya menjadi masyhur. Kewibawaan ulama terangkat. Doa dan kata-kata ulama tidak lagi diremehkan.

*THE END*

Lalu apakah ibrah yang boleh kita kaut dalam kisah di atas? Setiap daripada kita tahu, doa merupakan senjata orang mukmin. Secara kasarnya, kisah di atas mempamerkan kemenangan buat seorang imam muda ke atas seorang komander yang zalim. Namun hakikatnya Allah yang membanteras kezaliman dajjal itu. Mengapa? Jika Allah tidak menurunkan ilham untuk melaungkan azan kepada imam itu, pasti imam itu tidak akan punya jalan solusi, wanita itu akan dinodai, kezaliman komander itu terus berleluasa, khalifah terus diperbodohkan, lebih ramai mangsa terlibat dan pastinya pengakhiran kisah ini tak akan berlaku seperti mana yang kita baca tadi. Benar kan?

Maka segalanya kembali kepada Allah. Kita sebagai pelajar yang berjuang di medan ilmu, kewajipan untuk kita terus meletakkan Dia di hadapan kita tak patut terlupa. Mahukah kita menjadi hamba yang derhaka?

Akhir kalam, mungkin ada di antara kita yang akan menghadapi situasi sedemikian ketika memegang amanah sebagai musyrif akhawat di bumi mesir ini. Bolehlah ambil tips daripada kisah di atas. Ye tak? =)

Wallahu'alam

Azan Penyelamat Kota Baghdad Bahagian 1



KOTA BAGHDAD terang dengan cahaya purnama. Beberapa orang masih terjaga, namun banyak juga yang telah menutup jendela dan pintu rumahnya.

Lelaki setengah baya berjubah putih  itu masih asyik dalam tadabburnya. Hanya dia ditemani dengan al Quran di dalam masjid itu kerana memang dialah yang diamanahkan untuk menjadi imam dan pengurus masjid itu. Biasanya dia ditemani oleh seorang anak muda, namun anak muda itu telah pulang menjenguk orang tuanya.

Tiba-tiba, kedengaran suara jeritan seorang wanita meminta tolong. Semakin lama, suara itu semakin hampir.

"Tolong! Tolonglah saya wahai penduduk Baghdad!"

Imam itu melihat ke arah suara itu. Kelihatan sekujur tubuh seorang wanita berlari ke arahnya. Lantas dia menutup mushafnya sebagai tanda menutup tadabburnya malam itu.

"Tolong saya tuan! Tolonglah saya! Saya hendak dijahati oleh komanden Turki yang bengis itu! Tolonglah saya!" Wanita muda itu bermuka pucat dan dalam ketakutan yang amat.

"Tenanglah. Kamu inshaAllah akan selamat di rumah Allah ini. Tenanglah!" Dia berusaha menenangkan wanita itu, meskipun nuraninya agak kecut seraya mendengar nama komanden Turki yang terkenal dengan kezalimannya ke atas penduduk.

Dengan kekuatan dan kekuasaan bersama dengan anak-anak buahnya, komanden Turki itu telah menjelma sebagai Firaun baru di Kota Baghdad. Komanden itu sangat ditakuti oleh penduduk, tetapi disayangi oleh khalifah kerana khalifah itu tidak pernah tahu akan semua kejahatannya, tetapi yang beliau tahu hanyalah kesetiaan dan prestasi yang gemilang dicapai oleh komanden itu.

Bagi rakyat biasa, komanden Turki itu ialah makhluk yang sangat menakutkan. Sudah ramai yang diminta isteri-isteri mereka secara paksa. Kalau melawan, nescaya akan dikasari dan difitnah kemudian dipenjara atas tuduhan membuat kekacauan.

"Bagaimana kamu boleh terlibat dengan komanden itu? Di mana dia sekarang?" Tanya imam.

Sambil menangis, wanita itu bercerita, suaminya sedang sakit kuat. Usai solat Isyak, dia keluar mencari tabib. Namun, malang tak berbau, di tengah jalan, dia bertembung dengan komanden dan anak-anak buahnya itu yang sedang mabuk. Lantas dia ditangkap dan dikurung di rumah komanden itu. Dia tahu, dia akan dinodai. Ketika komanden itu sedang lengah, dia berjaya keluar dari rumahnya dengan meloncat keluar melalui tingkap. Kaki kanannya terseliuh, namun dia segera berlari. Sepanjang jalan dia berteriak meminta tolong namun tiada siapa yang mahu membuka pintu rumahnya.Sementara itu, si komanden dan anak-anak buahnya sedang mengejarnya. Akhirnya dia terlihat sebuah masjid yang masih terbuka pintunya, mengharapkan masih ada penghuni di dalamnya.

"Tenanglah, di rumah Allah ini kamu akan aman. Allah yang akan melindungimu," imam itu menenangkan wanita itu, sambil menenangkan dirinya sendiri. Dia yakin, sebentar lagi dia akan berhadapan dengan dajjal itu. Dia minta wanita itu duduk jauh di samping sebuah tiang sementara dia sibuk memikirkan jalan keluar.

Tiba-tiba..

"Ha ha ha! Di sini rupanya kau! Ke sini kau manis! Tiada gunanya kau bersembunyi di masjid! Tiada gunanya kau meminta tolong dengan si imam tengik itu! Bahkan ayahmu, suamimu tak akan mampu menolongmu, jika aku mahukanmu!"

Suara jeritan itu memecahkan keheningan malam itu. Imam dan wanita itu terkejut. Wanita itu menggigil ketakutan kembali.




Bersambung...

Permata Sedekah

Diriwayatkan oleh seorang ulama besar, Fudhail Bin ‘Iyadh..

Ada seorang lelaki yang keluar dengan seekor kambing. Dia menjual kambingnya dengan harga satu dirham untuk membeli tepung. Kemudian, dia melalui dua orang yang sedang berkelahi, lalu dia berkata “Apa ini?”
Dijelaskan kepadanya bahawa mereka sedang berkelahi hanya kerana merebutkan satu dirham. Maka, terbitlah perasaan kemanusiaannya untuk memberikan satu dirham miliknya kepada mereka. Setelah itu, dia pulang lalu bercerita kepada isterinya akan apa yang telah terjadi.

Isterinya lantas mengumpulkan apa saja yang ada di rumah untuk si suami jual , tapi semuanya tidak laku. Lalu dia pulang ke rumah dalam keadaan longlai, tiba-tiba datang seorang lelaki yang sedang membawa seekor ikan yang rosak.

Pembawa ikan itu berkata, “Engkau membawa barang yang tidak laku, begitu juga dengan aku. Bagaimana jika aku membeli barang milikmu dengan yang aku bawa ini?”

Dia setuju. Mereka berdua saling menukar barang, lalu dia pulang ke rumah. Sampai di rumah, dia berkata:

“Wahai isteriku, bersihkanlah ikan itu segera! Kerana kita hampir mati kelaparan.”

Isterinya segera membersihkan ikan itu. Saat membelah perut ikan itu, didapati sebutir mutiara dalam perut ikan itu. Si isteri segera keluarkannya, seraya berkata kepada suaminya:

“Suamiku, ada sesuatu keluar daripada perut ikan ini, agaknya mutiara! Apakah kamu tahu berapa harga kira-kira mutiara ini?”
“Tidak tahu,” jawabnya, “tapi aku punya teman yang mengerti akan hal itu.”

Dia ambil mutiara itu untuk dibawa ke tempat temannya yang ahli mutiara. Apabila tiba, dia memberi salam lalu menceritakan akan apa yang telah terjadi.

“Temanku, lihatlah, berapa kira-kira harga mutiara ini?” Katanya.

Setelah meneliti dengan saksama, temannya menjawab:

“Saya hanya mampu membeli dengan harga 40 000 dirham. Jika kamu mahu, akan kubayar sekarang juga. Tapi jika kamu mahu lebih dari itu, pergilah temui orang ini, kerana dia akan membeli dengan harga yang lebih tinggi daripadaku.”

Dia pun pergi menemui lelaki yang dimaksudkan. Setelah memeriksanya, lelaki itu berkata:

“Saya hanya boleh membayar dengan harga 80 000 dirham. Jika kamu mahu lebih dari ini, temuilah orang ini. Saya yakin dia akan membayarmu dengan lebih besar.”

Dia pun bersegera menemui lelaki yang dimaksudkan. Lelaki yang ketiga itu berkata:

“Saya akan membayar dengan harga 120 000 dirham. Saya rasa tidak akan ada yang membayarnya lebih tinggi daripada itu.”

Dengan penuh kerelaan, dia berkata, “Baiklah kalau begitu.”

Dia pulang dengan membawa 12 bungkusan yang di dalamnya masing-masing berisi 10 000 dirham. Ketika hendak masuk ke dalam rumah, dilihatnya ada seorang fakir berdiri meminta di depan rumahnya.

Melihat orang fakir itu, terbitlah rasa hibanya. Dengan mata berkaca dia berkata, “Saudaraku, sama seperti keadaanmu saat inilah keadaanku dulu. Masuklah!” Lalu dia memberikan separuh daripada hartanya kepada fakir itu, sebanyak 6 bungkusan.

Belum jauh fakir itu pergi, dia kembali lagi kepada lelaki itu dan berkata:

“Saya bukanlah orang miskin, tapi malaikat utusan Tuhanmu untuk menemuimu. Allah memberimu balasan 1 dirham dengan 20 QIRATH. Ini adalah satu qirath yang diberikanNya kepadamu. Adapun 19 QIRATH lagi Dia simpan untukmu di akhirat kelak."


Wallahu'alam =)



Pesona Peribadi Seorang Ibu

Suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang berkumpul bersama sahabatnya di masjid. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu memberi salam. Lantas baginda dan para sahabat menjawab salamnya. Lalu lelaki itu berkata:

"Duhai Rasululllah, Abdulllah bin Salam sakit kuat dan sedang sakarat menjemput maut. Dia memanggilmu." Sebaik mendengar katanya, baginda terus bangkit dan berkata, "Bangkitlah kalian semua, mari kita tengok saudara kita!"

Sampai di sana, kelihatan Abdullah bin Salam terbaring tidak terdaya, nafasnya tersekat-sekat. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. menghampirinya seraya membimbingnya untuk mengucapkan syahadah, "Abdullah, ucapkanlah Laa ilaha illallah Muhammadurrsarulullah!" Setelah mengucapkan 3x di telinganya, Abdullah bin Salam tidak boleh mengucapkannya seolah-olah mulutnya telah terkunci.

"La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim," kata Rasulullah s.a.w.

"Bilal, pergilah ke tempat isterinya dan tanyakan kepadanya apa yg telah dibuat oleh Alqamah (nama lain bagi Abdullah bin Salam) selama di dunia dan apa pekerjaannya," perintah baginda kepada Bilal.

Ketika Bilal menemuinya isteri Alqamah, lalu bertanyakan akan hal itu, isterinya menjawab, "Selama aku hidup bersamanya, aku tidak pernah melihat dia meninggalkan solat bersama Rasulullah, hampir setiap hari dia memberi sedekah. Tapi, dia ada MASALAH DENGAN IBUNYA."

Setelah dikhabarkan kepada Rasulullah s.a.w., baginda terus memerintahkan agar ibunya dibawa untuk berjumpa dengannya.

Setelah Bilal menemui ibunya, beliau berkata, "Anakmu Abdullah sedang sakaratul maut. Aku datang ke mari untuk meminta maaf atas kesalahan kalian berdua dan memperbaiki hubungan kalian."

"Aku tidak akan memaafkan kederhakaannya. Dia telah menyakiti aku. Aku tak akan memaafkannya di dunia mahupun akhirat!" jawab ibunya tegas.

Lalu Bilal kembali kepada Rasulullah dan menceritakan segalanya. Setelah itu, baginda bersabda, "Umar, Ali, kalian berdua kembalilah ke tempat ibunya dan bawa dia ke mari"

Tanpa bicara, dua sahabat itu terus berangkat ke rumah ibu Alqamah. Setelah tiba, ibu Alqamah bertanya, "Wahai Umar dan Ali, ada apa kalian datang ke mari?"
Jawab Umar, "Wahai ibu, Rasulullah s.a.w. memanggilmu."

"Untuk apa?" Tanyanya.

"Nanti kau juga akan tahu, yang penting ikutlah kami menemui baginda." Tukas Umar.

Mereka bertiga akhirnya sampai di hadapan Rasulullah s.a.w. yang berada hampir dengan Alqamah. Baginda bersabda, "Wahai ibu, lihatlah anakmu yang sedang di ambang kematian ini. Maafkanlah dia."

"Aku tidak akan memaafkannya, baik di dunia dan akhirat!" Kata ibu Alqamah.

"Maafkanlah. Adakah kau tidak kasihan padanya sampai tidak dapat mengucapkan dua kalimah syahadah," pinta Rasulullah.

"Bagaimana aku akan memaafkannya? Dia memukulku dan mengusirku dari rumahnya kerana mementingkan isterinya,"

Lalu baginda memerintahkan para sahabat mengumpulkan kayu bakar dan melonggokkannya di samping Alqamah.

"Untuk apa ya Rasulullah?" Tanya ibu.

"Untuk membakar anakmu! Kerana kau tidak mahu memaafkannya!"

Melihat anaknya hendak dibakar hidup-hidup, hati si ibu luluh, lantas berkata, "Baiklah, demi kebenaran risalahmu duhai Rasulullah, aku memaafkan segala kesalahan puteraku."

Setelah itu, Rasulullah menghampiri Alqamah lalu mengajarkannya untuk mengucap. Akhirnya Alqamah mengucap terkumat-kamit dengan jelas.

"Innalillah wa inna ilaihi raji'un," ucap baginda dan para sahabat.

Setelah selesai menguruskan jenazah Alqamah, baginda ke masjid lalu bersabda:

"Wahai kaum muslimin sekalian, ingatlah, orang yang mementingkan isterinya dan menyiakan ibunya sehingga ibunya tidak reda kepadanya akan terancam mati tidak bersyahadat!"

Lihat, betapa tinggi PESONA PERIBADI seorang ibu yang mengandung dan melahirkan kita di dunia ini. Di manakah kita meletakkan wajah dan kasih kita kepada ibu di ruang hati kita? Sedangkan baginda melarang umatnya daripada melebihkan isteri, apa lagi jika mahu melebihkan rakan mahupun harta atau kerjaya. Selagi kita masih punya ibu, teruskanlah berbakti kepadanya. Bagi yang sudah meninggal ibunya, percayalah, ibu anda masih ada. Anda masih belum kehilangannya. Ibu anda sedang menanti anda di alam sana, bagi meneruskan arus kasih ibu dan anak di alam sana pula. Berdoalah, agar kita akan bersama dengannya selalu, bukan di dunia sahaja, akhirat jua inshaAllah.